Sinonim dengan status
kanak-kanak, barangan permainan bukanlah suatu perkara yang asing dan mudah
untuk dilupakan. Malah jika sudah meminati satu-satu barangan permainan akan di
bawanya sehingga ke tempat tidur. Begitulah peri pentingnya barangan tersebut
bagi mereka!
Rakan ibu bapa yang
dihormati sekalian, hakikat ini adalah perkara yang seharusnya terjadi dalam
diri anak-anak. Hakikat yang saya maksudkan ialah dunia awal kanak-kanak yang
penuh dengan keceriaan, keriangan dan keseronokan.
Bertepatan dengan
saranan Sayidina Ali R.A iaitu tujuh tahun pertama usia anak-anak pendekatan
pendidikan yang terbaik adalah dengan bermain dan menitipkan sepenuh kasih
sayang.
Dengan hiburan inilah
anak-anak akan belajar banyak perkara yang sekali gus membantu perkembangan
tubuh, emosi, minda dan rohaninya. Namun hakikat yang perlu difahami di sini
ialah yang diperlukan anak sebenarnya adalah kasih sayang, ruangan masa bersama
dan keseronokan bukanlah fizikal permainan tersebut.
Ini merupakan keperluan
asas anak yang perlu sama-sama kita selidiki adakah sudah tertunai sepenuhnya
atau masih belum sempurna. Apakah indikator kesempurnaan penunaian hak
tersebut?
Paling ketara ialah apabila
anak mula mengalih perhatiannya dengan mencari keseronokan lain selain bersama
keluarganya atau lebih tepat ibu bapanya. Dia akan mula meminta dibelikan
pelbagai jenis mainan secara kerap atau menonton televisyen dalam jangka waktu
yang lama, bermain ‘game’ dan sebagainya.
Secara fitrahnya
anak-anak di bawah usia 7 tahun ini sifatnya manja, amat suka dibelai ibu dan
bapa dan sering inginkan perhatian keduanya. Bagi mereka ini kehadiran ibu bapa
adalah ibarat sebuah hadiah yang amat besar dan mengujakan.
Namun jika kegembiraan
fitrah ini jarang ditunaikan dengan ketiadaan masa berkualiti bersama, jika ada
sekalipun kebanyakan masa anak menjadi mangsa kepenatan ibu bapa yang hasilnya
tiada nilai keseronokan yang lahir dalam satu pertemuan yang amat singkat.
Dia akan mula mencari
keseronokan lain bagi mengisi keperluan fitrahnya dengan meminta barangan
permainan, bermain ‘game’ , menonton televisyen dan sebagainya. Akhirnya anak
mendapat keseronokan sementara dan mengambil pelbagai elemen yang tidak tahu
isi kandungan peratusan positif dan negatifnya.
Elemen-elemen ini akan
berterusan menyerap dalam fikirannya tanpa mengetahui hakikat benar atau salah
dan membentuk sebuah tasawur kehidupan yang bakal dirujuk untuk sepanjang
hayatnya.
Keseronokan
abadi
Jika elemen yang
diperoleh tadi adalah elemen yang positif maka Alhamdulillah tasawur pemikiran
mindanya juga dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik yang akhirnya membentuk
sikap dan tingkah lakunya yang baik juga namun jika elemen yang diserap tadi sebaliknya
maka hasil yang sebaliknya juga yang bakal dilihat.
Saya amat faham keadaan
ibu-ibu di luar sana yang mempunyai waktu yang amat terhad dengan anak-anak.
Namun, inilah pengorbanan kita bagi memastikan keseronokan yang dicari anak itu
adalah keseronokan abadi yang membawanya ke syurga.
Ini kerana masa
pembinaan tasawur pemikirannya hanya sekali di waktu usia muda inilah, usaha
membetulkannya kelak adalah usaha yang sukar. Cukuplah dengan sedikit
pergerakan fizikal yang kita lakukan bagi menonjolkan perasaan kasih sayang dan
keseronokan waktu bersama mereka contohnya senyuman, rangkulan, ciuman,ucapan
sayang dan perhatian walaupun sekejap.
Saya tidak nyatakan
salah jika anak meminta mainan atau tidak perlu menunaikan permintaannya.
Namun, bila anak sudah mula kerap meminta mainan kita perlu sama-sama selidiki
bahagian mana keperluannya yang kurang kita berikan. Anak-anak kita adalah
harta kita yang paling berharga di dunia dan di akhirat.
Waktu pembinaan acuan
positif dengan pengisian rohani yang mantap perlu dijalankan sendiri oleh kita
di rumah dan dibantu dengan perisian di sekolah dan sebagainya. Ini kerana
proses pembinaan tasawur kehidupan adalah pada usia ini. Jadi, perhatian yang
benar-benar teliti perlu diberikan,agar usaha melenturnya kelak akan menjadi
lebih mudah.
Justeru, hargailah
anak-anak kita dengan usaha sedaya mungkin untuk mengisi keperluan dirinya
dengan baik. Keperluan yang terjaga akan menyaksikan perkembangan diri anak
yang baik. Akhir kata, jangan biarkan anak-anak lebih memberi perhatian kepada
permainan-permainannya dan menyisihkan diri kita yang berada di
sisinya…Renung-renungkan…Allahu alam.
0 comments:
Post a Comment